SULIT Ruj. Kami :
SUK(S) D200/66/43/(03)
Bertarikh : 10
Syawal 1447H
30 Mac 2026
Ke majlis,
Semua Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan
Semua Ketua Pengurusan Jabatan Negeri dan Persekutuan
Semua Ketua Pengurusan Badan-Badan Berkanun Negeri dan
Persekutuan
Semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri
Semua Yang DiPertua / Pengerusi Badan-Badan Sukarela
YB Dato / Tan
Sri / Dato Sri / Datuk / Dato / Tengku / Tuan / Puan,
PENCALONAN
BAGI PENGURNIAAN KEHORMATAN KEBESARAN
NEGERI
KELANTAN BAGI TAHUN 1447H/2026M
Dengan segala
hormatnya saya merujuk perkara di atas.
2.
Sukacita
dimaklumkan bahawa sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-57 pada tahun 2026,
Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan bagi tahun 1447H/2026M
akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya. Pada tahun ini, antara
kehormatan kebesaran yang akan dikurniakan termasuklah Darjah Kebesaran,
Bintang, Pingat, Surat Kepujian dan Perlantikan Jaksa Pendamai.
3.
Pencalonan bagi
pengurniaan kehormatan kebesaran ini, melibatkan pegawai-pegawai negeri dan
persekutuan serta anggota badan sukarela, kesenian dan seumpamanya, hendaklah
dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pengurniaan Kehormatan
Kebesaran Negeri Kelantan (eKurnia Kelantan) di pautan
rasmi https://ekurnia.kelantan.gov.my, yang dibuka mulai 1 April 2026 hingga 1 Mei 2026.
Borang pencalonan yang telah lengkap diisi melalui sistem perlu dicetak untuk
mendapatkan pengesahan daripada pencadang dan Ketua Jabatan masing-masing
sebelum dihantar dalam bentuk salinan cetak selewat-lewatnya pada 17 Mei
2026 ke alamat berikut:
Yang Berhormat
Mulia Tengku Kaya Perkasa
Setiausaha Kerajaan Kelantan
Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri Kelantan
Aras 4, MABNA MBI (Blok 8)
Kompleks Kota Darulnaim
15503 Kota Bharu
KELANTAN.
Untuk makluman, borang pencalonan yang tidak lengkap atau
diterima selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan dipertimbangkan.
4.
Semasa mengisi
borang pencalonan, perhatian khusus hendaklah diberikan kepada Bahagian F ,
yang merangkumi jenis anugerah kehormatan yang dicadangkan serta nama pegawai
yang membuat pencalonan. Bagi memastikan maklumat dalam bahagian ini diisi
dengan betul, peraturan berikut haruslah dipatuhi:
(i) Setiausaha Kerajaan akan melengkapkan Bahagian F' bagi :-
(a) Ketua-Ketua Jabatan
(b) Calon-calon dari Badan-Badan Sukarela
(ii) Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan hendaklah mendapatkan pengesahan
daripada Ketua Jajahan dalam Bahagian F (bagi pencalonan yang melibatkan
jabatan di Negeri Kelantan sahaja)
(iii) Ketua-Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk melengkapkan Bahagian F bagi
pencalonan pegawai dan kakitangan di bawah seliaan mereka
(iv) Pencalonan bagi Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato hendaklah
mendapat sokongan daripada pegawai atau individu yang telah menerima darjah kebesaran
yang sama atau lebih tinggi
5.
Setiap Ketua
Jabatan atau ketua badan sukarela bertanggungjawab memastikan hanya calon yang
benar-benar berkelayakan dikemukakan, agar kurniaan diberikan kepada individu
yang telah berjasa dan berkhidmat dengan cemerlang. Semasa membuat perakuan,
huraian mengenai sumbangan dan pencapaian calon hendaklah ditulis secara
ringkas dan padat. Pencalonan tahun-tahun sebelumnya yang masih belum
diperkenankan boleh dikemukakan semula sekiranya masih layak, dengan tambahan
hujah sokongan.
6.
Pegawai yang
mengemukakan pencalonan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa calon belum
pernah menerima Darjah Kebesaran, Bintang atau Pingat yang dicadangkan. Calon
yang telah menerima kurniaan hanya boleh dicalonkan semula selepas tempoh
lima (5) tahun dari tarikh penerimaan terdahulu. Sekiranya seseorang pernah
menolak tawaran pengurniaan, pencalonan semula tidak perlu dikemukakan.
7.
Ketua Jabatan
Negeri yang ingin mencalonkan Pegawai Kerajaan Persekutuan yang bukan di bawah
seliaannya hendaklah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada Ketua
Jabatan pegawai berkenaan sebelum pencalonan dikemukakan. Sebagai langkah
terbaik, cadangan pencalonan hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Ketua
Jabatan pegawai tersebut untuk pertimbangan. Jika pencalonan itu dianggap
sesuai, Ketua Jabatan berkenaan boleh mengemukakannya secara terus kepada
Pentadbiran ini.
8.
Ketua-Ketua
Jabatan Negeri dan Persekutuan juga boleh mencalonkan individu bukan Pegawai
Kerajaan yang telah memberikan sumbangan besar atau bantuan berterusan kepada
jabatan sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam meningkatkan keberkesanan
perkhidmatan dan sokongan terhadap jabatan.
9.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkara ini, sila
hubungi Pentadbiran ini di talian 09-7481957 sambungan 8406 / 8404.
10.
Perhatian dan kerjasama pihak YB Dato / Tan Sri / Dato
Sri / Datuk / Dato' / Tengku / Tuan / Puan dalam urusan ini amat dihargai.
Sekian, terima
kasih.
* ISLAM DIJUNJUNG,
RAKYAT BERSATU, NEGERI BERKAT, RAJA BERDAULAT *
* SEMOGA ALLAH
MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT *
Dengan hormatnya,
DATO
DR. TENGKU MOHAMED FAZIHARUDEAN AL-HAJ BIN TENGKU FEISSAL,
S.P.S.K., D.J.M.K. (Kelantan)
(TENGKU KAYA PERKASA)